≡ Menu

Amalan Bulan Syaa’ban, Antara Sunnah Dan Bid’ah

Bulan Syaaban adalah bulan mulia didalam Islam. Di dalam bulan inilah berlakunya peristiwa dimana peralihan kiblat dari Baitul Maqdis ke Kaabah Baitullah. Di bulan yang mulia ini jugalah terdapat malam yang dinamakan Malam Nisfu Syaa’banBulan Syaa’ban juga merupakan salah satu bulan diantara empat bulan yang dihormati. Firman Allah Taala:

” Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus “.

(Surah At-Taubah:38)

Ahli tafsir menafsirkan empat bulan yang dihormati ialah Rejab, Syaa’ban, Ramadhan dan Muharram. Imam Thabrani juga meriwayatkan hadith daripada Anas Bin Malik r.a, apabila tiba di bulan Rejab, Rasulullah s.a.w berdoa supaya diberkati bulan Rejab, Syaa’ban dan juga Ramadhan. Berikut adalah doa Rasulullah s.a.w:

” Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rajab dan Sya’ban, dan sampaikan (hayat) kami, kepada bulan Ramadhan “

 

Amalan Bidaah Di Bulan Syaa’ban

Segelintir pihak mempertikaikan amalan yang sering dilakukan oleh ummat Islam di Bulan Syaa’ban. Antara amalan yang sering dipertikaikan ialah amalan membaca Yaasin sebanyak 3 kali diselangi dengan doa tertentu, solat sunat malam nisfu Syaa’ban, puasa sunat Syaa’ban dan sebagainya. Amalan ini tidak disokong oleh mana-mana nas atau dalil daripada Al-Quran mahupun hadith.

Mereka berpendapat amalan seperti itu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, malah ianya adalah amalan yang diada-adakan atau direka-reka. Perbuatan mengada-adakan amalan yang tidak pernah dilakukan atau diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w adalah bid’ah . Tiap bid’ah adalah sesat dan masuk neraka. Pendapat mereka berdasarkan hadis dalam sahih Muslim yang diriwayatkan daripada Jabir r.a., Nabi s.a.w. bersabda dalam khutbah baginda:

“Tetaplah kamu dengan suruhan dan sunnah para khulafa’ ar- Rasyidin serta berpegang teguhlah padanya. Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu adalah sesat. Setiap yang sesat akan masuk neraka”.

Amalan yang didakwa bid’ah lagi seperti membaca Yasin pada malam Jumaat, Sambutan Isra’ Mikraj pada 27 Rajab, Sambutan Maulud Rasul pada 12 Rabiul Awwal, bacaan tahlil dan doa kerana kematian, wirid dan doa selepas solat lima waktu kerana amalan seperti itu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Amalan-amalan ini adalah diambil daripada perbuatan ulama salaf yang dilakukan apabila masuknya bulan Syaa’ban.

 

Amalan sunat di bulan Syaa’ban

Kebanyakan daripada rakyat Malaysia menerima saranan daripada guru-guru dan orang-orang tua supaya memperbanyakkan beribadah di bulan Syaa’ban. Ianya diambil daripada hadith Rasulullah s.a.w:

” Bulan Rajab adalah bulan Allah dan Allah telah melebihkan darjatnya dari segala bulan seperti halnya kelebihanku atas segala makhluknya, Sya’ban itu bulanKu dan Allah telah melebihkan atas segala bulan seperti kelebihanKu atas segala nabi-nabi,dan Ramadhan pula adalah bulan umatKu dan Allah melebihkan atas segala bulan seperti kelebihanKu atas segala umat “.

Ianya menjelaskan tentang kelebihan yang terdapat di dalam 3 bulan iaitu Rejab, Syaa’ban, dan Ramadhan. Berdasarkan hadith ini, ummat Islam di Malaysia mengambil manfaat daripada hadith ini dengan memperbanyakkan amalan di bulan tersebut. Amalan yang sering dilakukan, pengisian ibadah terus dilakukan selagi mana ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam. Semua amalan yang mendekatkan diri kepada Allah Taala adalah baik. Antara amalan contoh yang sering dilakukan oleh Rasulullah s.a.w:

1. Puasa sunat
Mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w. membanyakkan puasa di bulan Sya’ban.

2. Membaca surah Yasin
Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya membaca al-Quran. Setiap huruf diberi dengan ganjaran pahala berganda. Surah Yasin adalah satu daripada surah dalam al- Quran.

3. Berdoa
Nabi Muhammad s.a.w.mengatakan bahawa doa itu senjata orang mukmin. Allah SWT memerintahkan hambaNya berdoa nescaya. Allah SWT memperkenankan doa mereka.
4. Mengadakan majlis kenduri
Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan bersedekah dan mengeratkan silaturrahim. Kenduri juga merupakan perhimpunan sanak keluarga.
5. Bertahlil
Kerana berpendapat tahlil itu mengandungi bacaan dari ayat al-Quran, zikir berdoa dan bersitighfar mohon keampunan Allah SWT terhadap keluarga yang meninggal dunia agar dicucuri rahmat ke atas rohnya.

 

Hendak ditegaskan disini, amalan yang dilakukan tidak ada larangan. Malah ianya juga tidak ada saranan untuk melakukannya. Cuma ianya diambil daripada perbuatan ulama salaf. Al-Hafidz Bin Rejab r.a menyebut di dalam kitab Lataa’if Al-Ma’arif :

“Malam nisfu Syaaban asalnya diutamakan kepada golongan tabi’in di kalangan penduduk Syam, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman Bin Amir dan lain-lain tabi’in dimana pada malam itu, mereka beribadah bersungguh-sungguh.”

Terdapat juga hadith Rasulullah s.a.w yang menerangkan tentang fadhilat bulan Syaa’ban:

Usman bin Zaid menceritakan : ” Saya telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., wahai Rasulullah, saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Sya’ban; lalu baginda menjawab, itulah bulan Sya’ban di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rajab dan bulan Ramadhan; ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Oleh itu saya (baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa”.
(Hadis riwayat Imam Ahmad dan an- Nasai)

 

Walaubagaimanapun, pada malam Nisfu Sya’ban mereka membaca surah Yasin (3 kali), sama ada secara individu atau berjamaah diikuti dengan doa selepasnya:
1. Bacaan Yasin pertama, niatkan memohon dipanjangkan umur untuk mentaati segala perintah dan menjauhi larangan Allah SWT.
2. Bacaan Yasin kedua, niatkan mohon keluasan rezeki yang halal serta diberkati.
3. Bacaan Yasin ketiga, niatkan memohon ditetapkan iman yang sempurna sehingga meninggal dunia kelak.

Menurut sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang diceritakan oleh Sayidatina Aisyah r.a. bahawa pada malam Nisfu Sya’ban baginda mendirikan solat sehingga pagi.

Baginda bersabda kepada Aisyah: “Malam ini adalah malam Nisfu (pertengahan) bulan Sya’ban”.

 

Kesimpulannya, setiap pengisian ibadah yang menghidupkan bulan Syaa’ban adalah ibadah yang baik selagi mana tidak bertentangan dengan syariat Islam. Yang menjadi pertikaian antara sesetengah pihan ialah pengkhususan amalan pada malam-malam tertentu seperti amalan membaca Yaasin pada malam Jumaat Keliwon yang mana malam Jumaat Keliwon didakwa dimana malam segala hantu syaitan dibebaskan sedangkan Islam menggalakkan ummatnya membaca Al-Quran, bukan membacanya pada malam-malam tertentu. Menurut Imam As-Syafie, jika amalan yang baik membawa kepada pendekatan diri kepada Allah Taala, membawa kepada kebaikan dan tidak bertentangan dengan syariat, adalah bidaah hasanah.

 

jobs from - my.neuvoo.com   bunting-murah

Incoming search terms:

kenduri nisfu syaban
{ 0 comments… add one }

Leave a Comment