≡ Menu

Khusyuk itu Roh Ibadah

Ibadah

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesunggghnya berjayalah bagi orang yang beriman iaitu  mereka yang khusyuk di dalam solatnya (Surah al-Mu’minun 23: 1-2)
 
Alhamdulillah segala pujian hanya bagi Allah, Zat Yang Maha Sempuma yang telah menurunkan kefarduan solat kepada hambanya agar manusia yang benar- benar menghayati roh solat itu mendapat kemenangan yang dijanjikannya.
 
Pada kali ini, Mutiara Tasawuf akan membicarakan tentang khusyuk terutama ketika kita berdiri menghadapnya. Mudah-mudahan dengan sedikit pencerahan terhadap takrif ini akan sama-sama membangkitkan kefahaman terhadap roh solat ini dan seterusnya memberi kesan yang terbaik dalam kita menghayati maksud kehambaan.
 
Apakah maksud khusyuk? Adakah khusyuk itu boleh dicari menerusi jalan menuntut ilmu semata-mata?
 
Al-Allamah Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat Allah ini telah menukilkan kata-kata Ali bin Abi Talhah daripada Ibn Abbas r.a., katanya: “Orang yang khusyuk seperti yang digambarkan oleh Allah s.w.t. ini ialah mereka yang takut dan gerun terhadap Allah s.w.t. serta mempunyai ketenangan batin saat berdiri menghadapnya dalam solat.”
 
Pendapat ini turut diperakui oleh Mujahid, Hasan al-Basri, Qatadah serta al-Zuhri.
 
Erti Khusyuk
 
Sebenarnya para ulama telah mendefinisikan kalimah ini dengan pelbagai takrif. Di sini penulis cuba menukilkan pandangan para ulama tasawuf terhadap kalimah ini:
 
1. Hasan al-Basri r.a. berkata: “Khusyuk ialah rasa takut secara berkekalan untuk kepentingan menghidupkan hati.”
 
2. Syeikh Junaid al-Baghdadi berkata : “Khusyuk adalah rasa rendah hati kerana Allah s.w.t.”
 
3. Fudail bin Iyad r.a. berkata: “Khusyuk ialah apabila berterusan dalam pengaduan terhadap Allah dalam semua perkara.”
 
4. Menurut Syeikh Abu Ali al-Daqqaq r.a. pula, yang dimaksudkan dengan khusyuk ialah tunduknya hati kepada Allah serta berakhlak dengan akhlak yang mulia.
 
Inilah antara definisi khusyuk di sisi ulama tasawuf seperti yang dinukilkan oleh Syeikh Abu al-Qasim Karim Hawazin al-Qushairi dalam Risalah al-Qushairiyyah.
 
Namun sama ada kita sedar ataupun tidak, roh bagi setiap amalan ini juga merupakan sifat yang paling awal akan hilang dalam ibadah manusia sekiranya ia tidak diikat dengan makrifatullah.
 
Benarlah seperti yang dinyatakan oleh Huzaifah al-Yamani bahawa perkara yang paling awal yang akan hilang daripada agama ialah sifat khusyuk.
 
Penulis berdoa agar Allah Azzawajalla sentiasa membimbing kita dalam melaksanakan ketaatan kepadanya dan mudah-mudahan kita dianugerahkan khusyuk dalam beribadah agar dapat kita selami kemanisannya. Moga hidup yang singkat ini juga lebih bermakna sebelum berpindah ke perkampungan akhirat yang lebih baik serta kekal abadi. Wallahu a‘lam.
jobs from - my.neuvoo.com   bunting-murah
{ 0 comments… add one }

Leave a Comment