≡ Menu

Keunikan Universiti Islam Yala

masjid

Pada tahun 2009 , saya diundang untuk memberi ucaptama dalam majlis perasmian bangunan baru Fakulti Pendidikan di Universiti Islam Yala yang terletak di selatan Tailand. Universiti ini mengambil model Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai model pengajiannya.
 
Integrasi dan islamisasi ilmu menjadi misi  utama universiti ini. Ia merupakan suatu tajdid  menarik yang cuba dilaksanakan oleh Universiti  Islam Yala dengan memperkenalkan konsep major  dan minor yang memberi ruang kepada para  pelajarnya mengikuti dua bidang ilmu iaitu ilmu konvensional dan juga ilmu agama.
 
Dalam ucaptama yang saya sampaikan, saya lebih  banyak memfokuskan keperluan tajdid ilmu dan  pendidikan serta memberi penekanan tentang  kepentingan pendidikan pondok dan madrasah,  seterusnya perlu diperkasakan supaya ia mampu masuk ke arus perdana. Saya memahami situasi di selatan Thailand yang  secara politiknya mengalami keresahan yang  boleh mencetuskan krisis berpanjangan. Secara  bijaksana dan berstrategi, pendidikan pondok  dan madrasah juga mengambil pendekatan  integrasi untuk rnembolehkan lulusan pondok dan madrasah memilih Universiti Islam Yala sebagai  sebuah universiti Islam yang penting. Dalam  jangka masa panjang, ia membolehkan lulusan  pondok di Yala memasuki arus perdana dalam  pentadbiran dan ekonomi negara.
 
Ia menuntut tekad ilmu dan perjuangan  pendidikan yang tinggi. Agenda untuk membawa  mereka menuju model arus perdana adalah sesuatu  yang amat mustahak supaya tajdid ilmu dan  pendidikan Islam berkembang sesuai dengan  perubahan zaman dan cabaran lingkungan.
 
Integrasi llmu
 
Saya memulakan ucaptama dengan memberikan  senario bahawa usaha memperkasakan umat Islam  di selatan Thailand mesti melalui perubahan dan orientasi ilmu. Sifat ilmu yang diajar di  pondok dan madrasah harus seimbang dalam  memantapkan ilmu naqliah dan juga  memperkenalkan ilmu yang bersifat akliah yang berorientasikan ilmu sains, teknologi, vokasional dan seumpamanya.
 
Ia penting bagi masyarakat Islam di Pattani,  Yala, Narathiwat, Satun dan banyak lagi tempat  mengalami proses pendidikan yang Iebih baik dan  membolehkan lebih ramai para pelajarnya  memasuki universiti arus perdana dan juga  universiti-universiti luar negara.
 
Yang kedua, aku menjelaskan mengapa integrasi  ilmu ini penting bagi umat Islam. Di kebanyakan  negara Islam, telah sekian lama menghadapi  dualisme dalam orientasi ilmu dan pendidikan.  Dalam bahasa mudahnya, isu binaan epistemologi  dan tasawur adalah sesuatu yang terutama. Membiarkan orientasi dualisme berlaku  menyebabkan umat Islam mengalami konflik  pemikiran yang berterusan dan menjadikan  kefahaman terhadap Islam sempit dan terbatas.
 
Berhadapan dengan globalisasi yang sedang  berlaku, Barat menawarkan ilmu dan pendidikan  yang sifatnya mekanistik iaitu tidak terdapat  roh dan etika yang membimbing manusia ke arah  watak islami. Aspek agama dan etika tidak  menjadi sandalan utama yang menyebabkan sifat  ilmu itu memiliki kegunaan, tetapi etika dan  nilai guna tidak dijadikan pedoman.
 
Integmsi bermakna cara menghubungkan kefahaman  terhadap ilmu-ilmu mengenai al-Quran dan hadis,  fiqah, sirah, syariah dan ibadah umpamanya  diberi lonjakan baru supaya aspek ilmu mengurus  sistem tidak diketepikan. Begitu juga cara ilmu  mengurus sistem seperti sains, teknologi dan  vokasional perlu diberi orientasi baru supaya  aplikasi sains, teknologi dan vokasional  dihubungkan dengan etika dan nilai yang baik.

1

 
Etika dan Nilai yang lslamik
 
Integrasi ilmu dan pendidikan akan menjadi  lebih bermakna sekiranya aspek-aspek  perbandingan dalam ilmu mengurus sistem yang  bermanfaat dikembangkan dalam orientasi etika  dan nilai yang islamik supaya penerimaan  terhadap ilmu mengurus sistem diserasikan  dengan corak nilai guna dalam kehidupan.  Pembelajaran mengenai komputer umpamanya ialah faktor ilmu mengurus sistem yang bermanfaat,  tetapi input, perisian dan program dalam  komputer tidak semuanya selari dengan nilai-  nilai keinsanan.
 
Input, perisian dan programnya amat dituntut  agar dibuat berasaskan orientasi yang lebih  insani dan islami. Ia bukan sesuatu yang mudah  dan itulah cabaran integrasi dan islamisasi.  Langkah permulaan harus dibuat supaya dalam  jangkamasa panjang umat Islam bakal menjadi  penyumbang penting kepada usaha ini dan paling kurang pun pengguna media baru mempunyai pilihan menuju ke arah nilai yang islamik.
 
Hakikatnya, teknologi selamanya alat dan  bukannya matlamat. Matlamat dalam aplikasi ilmu  mengurus sistem bukan sahaja menghasilkan  kemahiran berteknologi tinggi (high tech),  bahkan kualit keinsanan (high touch) supaya  mendapat keseimbangan yang baik terhadap  kehadiran teknologi dan upaya aplikasi yang baik dan mempunyai pedoman.
 
Justeru, pendekatan integrasi dalam pengilmuan  dan pendidikan, serta islamisasi dalam pengisian, adalah sesuatu yang tidak dapat  dielakkan sekiranya pendidikan Islam ingin  dijadikan pendidikan yang bersifat sezaman  serta mampu menjadi tunjangan kepada aspek-  aspek ilmu yang lain.
 
Islamisasi dalam Ilmu
 
Islamisasi itu penting. Ada orang berpendapat  bahawa ilmu-ilmu yang ada khususnya dari Barat  tidak perlu mengalami proses islamisasi kerana  ilmu barat itu sudah bermanfaat. Lalu,  digunakannya sahaja dan lahirlah kemajuan dan  perubahan.
Namun begitu, Islam tidak mengambil pendekatan  sedemikian. Ilmu itu perlu dihubungkan dengan  Pencipta. Ilmu wahyu atau al-Quran umpamanya  mengandungi petunjuk untuk memahami perkara  yang nyata dan hubungannya dengan perkara yang ghaib. Pendekatan empiris melalui  pemerhatian dan uji kaji belum cukup untuk  membuat suatu hipotesis atau kesimpulan  mengenai sesuatu perkara. Ia memerlukan  hubungan rohaniah dan sumber petunjuk daripada  Pencipta supaya tidak sahaja bahan-bahan  ciptaan Allah yang dikaji, tetapi pasti ada  maksud dan hikmah sesuatu itu dijadikan oleh  Allah.
 
Proses islamisasi aqidah telah bermula sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Aqidah yang  syirik dan jahiliah yan dianuti oleh umat  manusia pada waktu itu mendekatkan mereka  dengan Allah yang Esa apabila diturunkan al- Quran yang mendukung islamisasi ilmu, dan diri  Nabi itu sendiri menjadi lambang watak qur’aniyyah selepas mengalami proses tarbiah  rabbaniyyah.
 
Puncak proses islamisasi disambung oleh para  sahabat, tabi tabiin, para ulama dan umara  sehingga lahirnya zaman Abbasiyyah dan  Andalusia yang mampu melonjakkan Islam ke paras   tamadun dan memberi manfaat kepada Eropah dalam bidang ilmu dan tamadun. Hari ini, Eropah  menjadi kuasa utama dunia dan umat Islam  menjadi pengguna kepada kekuatan mereka  terutama dalam bidang sains dan teknologl  walaupun mereka menterjemahkan ilmu-ilmu  matematik, sains dan perubatan umat Islam ke  dalam bahasa Latin, Ibrani dan Hebrew.
 
Keunikan Universiti
 
Islam Yala Universiti Islam Yala amat unik  kerana memperkenalkan pengajian ilmu perubatan dan lain-lain dengan memperkasakan sumber modal  insan masyarakat Islam Thailand, dan ia adalah  suatu permulaan yang tepat. Kecenderungan untuk bersikap ekstremis dan  separative bukanlah jawapan yang terbaik untuk  mengatasi kemelut yang ada. Jalan terbaik adalah dengan memperkasakan umat Islam di  Thailand dengan kekuatan ilmu dan keterampilan sains, vokasional dan politeknik supaya ia  dapat membangunkan jiwa mandiri dalam kalangan  umat Islam. Ketahuilah, pertentangan yang berlaku sekian lama tidak memberikan jawapan  yang terbaik. Di tengah-tengah cabaran  globalisasi kini, umat Islam tidak harus terpinggir daripada arus perubahan. Umat Islam mesti tampil sebagai penyumbang yang berkesan  ke arah membina integriti dan wibawa yang  dihormati.
 
Secara jangka panjangnya, harus wujud lebih  banyak model Universiti Islam Yala di seluruh  Thailand terutama di bahagian selatan. Jihad  ilmu seharusnya menjadi jawapan yang terbaik. Pendekatan tradisional harus diperkasakan. Ilmu  mengurus diri yang berkaitan dengan aqidah,  ibadah, fiqah, syariah, sirah, tafsir dan akhlak  amat penting dipelajari dalam orientasi tajdid  yang menjadi landasan kepada perkembangan ilmu mengurus sistem.
 
Inilah kaedah cemerlang yang berlaku dalam  sejarah Andalusia apabila integrasi dan  islamisasi ilmu berlangsung dengan begitu baik  sekali. Tokoh tersohor seperti Ibn Sina, al-Khawarizmi, Abu Qasim al-Zahrawi dan ramai lagi  tokoh yang telah menghafaz al-Quran sejak muda dan mampu mengintegrasikan sumber  al-Quran untuk memiliki kepakaran dalam bidang
perubatan, matematik, ilmu surgeri dan lain-  lain lagi.
 
Kecenderungan yang ditampilkan oleh Univerisiti  Islam Yala adalah sesuatu yang unik untuk  Thailand. Pendekatan wasatiyyah yang diambil  dalam mendekati sesuatu isu dan senario amat menarik untuk dijadikan pedoman.Persaingan  sebenar umat Islam di sana adalah persaingan  kekuatan ilmu dan keterampilan.
Meskipun isu politik tidak mudah terlerai,  tetapi fokus terhadap jihad ilmu suatu  perubahan yang baik kerana penampilan ilmuwan  yang berkualiti dengan pengkhususan masing- masing membolehkan mereka berperanan dengan  berkesan kepada umat Islam dan negara Thailand.

1

 
Memahami Realiti 
 
Perubahan Namun demikian, perkara yang  dibimbangi oleh umat minoriti ialah suasana  peminggiran dan pemencilan akibat kegagalan  memahami realiti dan perubahan yang didorong  oleh idealisme yang kadang-kadang tidak  berpijak di bumi nyata. Jelasnya, umat Islam memiliki Islam sebagai sumber agama dakwah yang  pernah menempa sejarah membangunkan tamadun.
 
Memiliki ilmu dan imej pengkhususan yang baik  ialah imej terbaik untuk mengembangkan Islam di  mana-mana sahaja. Pihak lain sengaja mewujudkan imej negatif terhadap umat Islam itu sendiri.  Islam sebagai agama rahmah li al-‘alamin harus mengambil tempat dalam suasana minoriti dengan  imej yang stabil.
 
Sekiranya ini dapat berlaku terhadap umat Islam  yang berpotensi di selatan Thailand dengan  kekuatan ilmu dan dakwah bagi mengukuhkan  kehadiran mereka di Thailand, ia dapat  menyumbang untuk pembangunan negara itu sendiri  dan menjadi kelompok yang dihormati dan  disegani dengan imej keilmuan yang baik dan  daya juang yang tinggi untuk membawa pendekatan wasatiyyah.
 
Seharusnya, mereka perlu mencari jalan yang  bijaksana dan berstrategi supaya jihad ilmu dan  dakwah dijadikan agenda utama untuk memahami  masalah yang timbul. Universiti Islam Yala  dengan keunikan yang ada merupakan salah satu  strategi bijaksana untuk mengangkat martabat  umat Islam di Thailand.
 
PROF. DATO’ DR. SIDEK BABA
jobs from - my.neuvoo.com   bunting-murah

Incoming search terms:

universiti islam yala thailand
{ 0 comments… add one }

Leave a Comment